Tuesday 29 March 2011

                 TRANSFORMASI PENDIDIKAN SEJARAH DI  MALAYSIA


Pengumuman Yang Amat Berhormat Menteri Pelajaran Malaysia bahawa mata pelajaran Sejarah diwajibkan lulus dalam peperiksaan SPM amatlah tepat pada masa dan ketikanya. Dalam gelombang globalisasi yang cukup mencabar dan getir kini sememangnya amat mendabakan rakyat yang patuh dan taat kepada negara dan bangsa Malaysia. Hal ini hanya mampu dicerna serta diterapkan melalui pendidikan sejarah.  Kurikulum dan sukatan pelajaran sejarah sedia ada sudah cukup menepati hasrat dan wawasan yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Antara matlamat utama dalam Pengajaran dan pembelajaran sejarah ialah melahirkan insan yang mantap jati diri serta keutuhan kesetiaan kepada negara dan bangsa Malaysia.  Ini selaras dengan matlamat utama mata pelajaran Sejarah sebagai pendukung utama pemupukan semangat patriotic dalam kalangan generasi muda. Penekanan juga diberikan kepada aspek kemahiran pemikiran,menganalisis dan menilai fakta sejarah secara rasional. Melalui pemahaman dan penghayatan sejarah jatuh bangun negara, akan dapat memperkasa keperibadian bangsa Malaysia tercinta.
 Namun,dari aspek pelaksanaanya masih lagi ditahap yang kurang memberangsangkan. Ini adalah disebabkan pelajar kurang mempunyai kesedaran malah menganggap mata pelajaran sejarah adalah tidak penting lantaran dianggap  tiada nilai-nilai komersial yang mampu memberi kesenangan dan kemewahan hidup. Terdapat banyak kajian ilmiah yang dijalankan telah menunjukkan bahawa rata-rata pelajar tidak berminat untuk mempelajari sejarah dan lebih menyedihkan lagi mereka menganggap mata pelajaran ini adalah tidak penting dan membosankan. Meskipun pelabagai ikhtiar   telah dilaksanakan oleh guru-guru sejarah untuk menarik minat dan perhatian pelajar, namun hasilnya kurang memberangsangkan.
Sesungguhnya pengumuman mutakhir yang menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai syarat lulus dalam peperiksaan SPM adalah memberi nafas baru kepada  hasrat dan aspirasi negara melahirkan generasi yang perkasa jati diri,mempunyai perasaan cinta yang mendalam terhadap tanah air. Rasional kepada keputusan tersebut juga adalah selaras dengan Wawasan 2020 yang menyarankan Malaysia menjadi negara maju mengikut acuan kita sendiri. Oleh itu,seluruh rakyat Malaysia perlu mempunyai pengetahuan sejarah negara serta hubung kaitnya dengan perkembangan dunia luar  bagi mempersiapkan diri untuk berhadapan dan berdaya saing dengan dunia luar.  Persaingan tidak dapat dielakkan dalam dunia globalisasi kerana kuasa politik dan ekonomi adalah dikawal oleh masyarakat yang berilmu dan bermaklumat.
Sesungguhnya transformasi dalam penddidikan sejarah ini wajar diterima dengan berlapang dada oleh semua pihak yang cinta dan sayangkan akan negara kita.  Hanya warganegara yang mempunyai daya tahan serta semanagat patriotik yang tinggi mampu mengharungi  masa depan yang amat mencabar. Pendidikan sejarah juga dapat mewujudkan ingatan bersama terhadap Sejarah sebagai rujukan kesedaran kebangsaan serta persefahaman kalangan pelbagai bangsa seterusnya persefahaman antara bangsa. Ini diterjemahkan melalui objektif yang dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah iaitu menyusur galur sejarah diri dan keluarga,memahami asal-usul dan perkembangan masyarakat dan negara.,pembangunan ekonomi,sistem pentadbiran dan hubungan dengan negara luar.
Beberapa perkara perlu diberi perhatian dan diambil tindakan bagi menjamin pelaksanaan Pengajaran dan pembelajaran sejarah yang berkesan dan mencapai matlamat yang dinyatakan. Beberapa transformasi dalam aspek pelaksanaanya perlu diberi perhatian. Aantaranya ialah pihak Kementerian Pelajaran perlu menambah bilangan waktu P&P mata pelajaran Sejarah dari tiga waktu kepada  5 waktu seminggu .Adalah tidak adil kepada pelajar-pelajar sedangkan peruntukan waktu bagi mata pelajaran  Bahasa Melayu 6 waktu. Sesungguhnya peruntukan waktu sedia ada adalah tidak cukup dan sukar untuk melaksanakan p&p sejarah dengan berkesan. Waktu yang terhad inilah yang mengekang guru-guru sejarah melaksanakan pengajaran dengan baik lebih-lebih lagi apabila hendak membimbing pelajar menjalani pembelajaran bersifat inkuiri atau penyiasatan. Saya mencadangkan agar  waktu yang dimaksudkan itu diambil daripada peruntukan waktu mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaran iaitu 2 waktu seminggu.Ini kerana kurikulum dan sukatan mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan yang dijalankan sekarang  lebih bersifat ulangan daripada  mata pelajaran Pendidikan Moral,geografi, Kajian Tempatan dan sejarah itu sendiri. Ini dilihat sebagai satu pembaziran waktu. Lebih-lebih lagi saya cukup yakin kebanyakan guru-guru panitia Sivik dan Kewarganegaraan adalah terdiri dari guru-guruyang bukan opsyen Sivik dan Kewarganegaraan sebaliknya diajar oleh guru-guru opsyen lain seperti guru mata pelajaran lain iaitu guru matematik,sains, PJK,Kemahiran hidup dan lain-lain. Amalan di sekolah-sekolah menetapkan guru yang mengajar Sivik dan kewargenagaraan sebagai mencukupkan jumlah waktu mengajar guru berkenaan sahaja.. Minat dan kecenderungan pelajar terhadap mata pelajaran Sivik juga adalah kurang baik kerana mata pelajaran tersebut tidak termasuk dalam mata pelajaran Peperiksaan PMR dan SPM.
Untuk itu juga saya mencadangkan supaya waran guru- guru sejarah perlu ditambah  bagi menjamin pelaksanaan P&P Sejarah dapat dilaksanakan secara berkesan disamping akan mengurangkan beban tugas guru- guru sejarah.Justru itu,Kementerian Pelajaran perlu mengambil tindakan drastik dengan menambah bilangan pengambilan guru-guru pelatih  opsyen sejarah di Institusi Pengajian Tinggi dengan kadar segera.
Saya juga amat bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh saudara Ahmad Fadzil Mat5 Min dalam ruangan Rencana   terbitan 29hb Oktober,2010 dalam Utusan Malaysia yang bertajuk “ Mahu subjek Sejarah Syarat Wajib Kemasukan Ke IPTA malah saya mencadangkan supaya diwajibkan bagi Kemasukan ke IPTS juga
 Pihak kementerian Pengajian Tinggi juga perlu menetapkan elemen pengajian sejarah diwajibkan sebagai syarat wajib untuk mendapat ijazah di IPTA dan IPTS..
Kesimpulannya kesungguhan Kementerian Pelajaran untuk memupuk generasi akan datang yang mempunyai jati diri dan semangat patriotik yang mendalam terhadap negara Malaysia adalah tergalas dibahu guru-guru sejarah di sekolah-sekolah. Dengan adanya pengetahuan dan kesedaran Sejarah akan menjadi asas penting ke arah mewujudkan dan memperkasa perpaduan kaum di Malaysia seterusnya merealisasikan Konsep 1Malaysia idaman YAB Perdana Menteri kita yang tercinta. Dengan adanya perubahan dan kesedaran kerajaan akan peri pentingnya pendidikan sejarah bagi memperkasa warganegara Malaysia sejati adalah amat dialu-alukan dan diucapkan terima kasih.

                                                                             

No comments:

Post a Comment